
Daripada Abu Hurairah RA katanya,Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Masing-masing ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan suatu yang berguna (di dunia dan di akhirat), hendaklah selalu meminta pertolongan daripada Allah dan jangan berasa lemah yakni putus harapan atau merasa hampa. Jika engkau ditimpa sesuatu janganlah berkata, “Andainya aku berbuat demikian tentu akan menjadi begini dan begitu.” Akan tetapi katakanlah, “Ini adalah takdir Allah SWT dan Allah sekehendaknya.” Sesungguhnya perkataan “andainya” (lau) hanya membukakan jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.”
( HR. Muslim )
2. Akhlak yang mantap ( Matinul Khuluq )
Imam Hassan al-Banna pernah menyatakan kewajipan seorang da'ie itu untuk bersifat sensitif, tawadhu', benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.
3. Berpengetahuan luas ( Mutsaqqafal Fikri )
Pesan Imam Hassan al-Banna: "Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri, dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi".
Seorang da'ie perlu berpengetahuan luas tentang Islam dan pengetahuan am supaya dapat menceritakan kepada orang lain perihal hal berkenaan di samping perlu sentiasa berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah
Seorang da'ie juga perlu mampu membaca al-Quran dengan baik, bertadabbur, dan sentiasa mempelajari sirah, kisah salafus soleh, dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.
4. Mampu berdikari ( Qadiran ala Kasbi )
Seorang da'ie meskipun seorang yang berharta, perlu juga bekerja namun tidak wajarlah untuk seorang da'ie untuk terlalu mengejar harta kebendaan serta pangkat dalam kehidupan duniawi ini.
Ihsan perlulah sentiasa tertanam dalam diri setiap individu muslim yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang da'ie, perlu sentiasa benar dalam perlakuan dan perbuatannya.
Seorang da'ie perlu mampu untuk memiliki serta mencari harta sendiri tanpa mengharapkan belas ihsan daripada orang lain semata-mata.
Seorang da'ie perlulah menguasai sesuatu kemahiran supaya tidak terlalu bergantung kepada orang lain dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul kelak.
Dalam soal kewangan, seorang da'ie perlulah sentiasa memelihara diri daripada riba dalam semua aspek kehidupan, serta mampu untuk menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan yang melalaikan serta pembaziran, seorang da'ie perlu mampu memastikan setiap sen yang dibelanjakan tidak jatuh ke tangan bukan islam.
5. Akidah yang sejahtera ( Salimul Aqidah )
Seorang da'ie mestilah redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, serta Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah kepada manusia sejagat.
Sentiasalah muraqabah ( mengingati dengan cara memikir tentang kekuasaan ) kepada Allah serta sentiasa mengingati akhirat, memperbanyak nawafil ( ibadat sunat ) dan zikir.
Seorang da'ie hendaklah tidak lupa untuk sentiasa menjaga kebersihan hati, sentiasa memperbaharui taubat, istighfar, menjauhi dosa, serta syubhat.
6. Ibadah yang sahih ( Sahihul Ibadah )
Seorang da'ie perlu melakukan ibadat yang dapat meninggikan roh serta jiwanya, perlulah sentiasa memperbetul amalannya dan mengetahui halal haram suatu perkara dan sentiasa bersederhana dan tidak terlalu melampau-lampau dalam setiap urusan dalam kehidupan sehariannya.
7. Mampu melawan hawa nafsu ( Mujahadah ala Nafsi )
Seorang da'ie perlulah sentiasa mempunyai azam yang kuat. bersungguh-sungguh untuk melawan kehendak nafsunya sebaliknya mengikut apa yang diperintah Islam di samping mengendahkan kata-kata orang lain dalam mempraktikkan Islam yang sebenar.
Perlu diingat juga, orang yang lagi hebat akan lagi hebat jualah cubaan yang Allah turunkan kepadanya, oleh itu sentiasalah kita menyiapkan diri dalam menghadapi segalan cubaan dan dugaan Allah itu.
8. Menjaga waktu ( Haarithun ala Waqtihi )
Seorang da'ie perlulah sentiasa berdoa agar waktu yang ada ini sentiasalah diberkati Allah seperti mana yang sering didoa oleh para sahabat Rasulullah SAW.
9. Tersusun dalam segala urusan ( Munazzamun fi syu'unihi )
Seorang da'ie perlulah sentiasa mempunyai kemahiran dalam menyusun segala perancangan urusan harian serta jangka panjang, setiap da'ie digalakkan untuk mencatit maratib ( ketertiban ) amal untuk kelancaran segala urusan mereka.
10. Bermamfaat untuk orang lain ( Nafi'un li ghairihi )
Seorang da'ie diumpamakan seolah-olah sebatang lilin yang sedang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain sedangkan dirinya terbakar sendirian, namun usahlah gentar kerana da'ie adalah tunggak penggerak kepada dakwah Islamiyyah, nescaya usahamu akan diberikan ganjaran berganda oleh Allah Taala.
Amal Islam seorang da'ie adalah untuk menyelamatkan orang lain sekaligus diri sendiri daripada kesesatan supaya di akhirat kelak masing-masing dapat menjawab setiap persoalan Allah dengan bekalan iman yang mencukupi di dada masing-masing tanpa perlu menyalahkan antara satu sama lain.
Ingatlah wahai da'ie, kegembiraanmu hanyalah apabila kamu dapat membantu orang lain, yang terindah semestinya jika mampu membawa seseorang itu ke jalan yang diberkati Allah Taala sekaligus menjauhkan seseorang itu daripada perbuatan-perbuatan mungkar.
Wallahu a'lam.
thank you for this
ReplyDelete