9/24/2012

Alkisah Rerakan
(Bahagian:2/3)

Eqram memulas kunci. Deruman enjin motosikalnya mati. Dia menongkat 'double stand' dan terus duduk di atas motosikal. Tangannya melipat-lipat lengan baju melayu warna biru laut, dipakai satu set dengan seluar. Kepalanya pula menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Mana pulak si budak Azlan ni? Selalu tu dia la yang paling semangat datang awal.", berkata Eqram seorang diri.

Dia melihat jam di tangan.

"7.10 (p.m)? Rupanya aku yang terlebih semangat, datang awal sangat.", tersengih Eqram.

Dia meraba-raba pahanya. Menyelup saku sebelah kanan seluar dan mengeluarkan Blackberry Bold IV, hadiah daripada bapanya pada hari lahir ke-23 beberapa hari lepas.

Eqram menaip, "Lan, aku dah sampai dekat surau ni."

Mesej dihantar melalui BBM.

Dia kemudian menyelup saku sekali lagi, menyimpan BBnya.

Kelihatan beberapa orang penduduk sekeliling berjalan kaki memasuki kawasan Surau Al-Huda, Kg. Ampang A.

"Aik, tak bunyi-bunyi lagi BB aku? Selalu tu dia yang paling laju reply BBM.", Eqram hairan.

Namun, dia tetap menunggu sahaja Azlan di atas motosikal, mengelamun seketika berseorangan.

"Azan sebentar lagi menandakan telah masuk waktu solat fardhu Maghrib bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya.", pengumuman masuk waktu solat di TV3.

Masih terpaku Azlan di hadapan kaca TV. Berbaring di atas sofa empuk, terasa seperti badan diikat. Dia tinggal seorang diri di rumah. Ibubapanya baru sahaja keluar.

"Malas pulak rasanya nak pergi surau.", Azlan berat tulang. Entah apa yang merubah fikirannya.

Surau sudah terang-benderang dengan cahaya lampu.

"Tup! Tup!", 'mic' diketuk-ketuk.

"AllahuAkbarullahuAkbar...", azan Maghrib berkumandang.

Tersentak Eqram. Lamunannya terhenti, "Astaghfirullah, dah azan dah?"

Dia menuruni motosikal, berjalan ke tempat wudhu'. Matanya tercari-cari kelibat Azlan di celahan orang ramai.

"Takkan tak sampai lagi kot mamat ni?", tertanya Eqram.

"Mungkin dah sampai kot.", menjawab sendiri pertanyaannya.

Dia menghampiri pili air, menanggal jam tangan dan menyimpan ke dalam saku. Lalu, memulas pembuka pili air dengan kederat lembut.

Tangannya menadah air, membersihkan kedua-dua telapak tangan dan celahan di setiap jari hingga ke pergelangan tangan sambil mengucap, "Bismillahirrahmanirrahim."

Kedengaran bunyi ketawa, jeritan si adik-adik kecil. Barangkali tidak puas bermain di waktu petang, terbawa-bawa pula ke surau.

Seorang lelaki menghampiri mereka.

"Ssshhhhhh, diam! Orang tengah azan. Hormat la sikit.", teguran diberi.

Eqram selesai berwudhu'. Melangkah perlahan masuk ke dalam surau.

Tidak lama kemudian, suara si adik-adik kecil menjelma lagi.

Berdiri tegak Eqram menghadap ke kiblat. Sempat dia memerhati jemaah di sekeliling. Lantas tersenyum.

"Alhamdulillah... Makin ramai.", Eqram memanjat kesyukuran.

Suasana tenang di dalam surau dicemari riuh-rendah dari kaki lima surau oleh si adik-adik kecil.

"Main apa lagi? Orang dah nak sembahyang dah!", mengusik lelaki yang sama sekali lagi kepada adik-adik kecil itu. Kali ini dengan nada suara sedikit keras kerana kedegilan mereka.

"Kamu buat bising lagi, aku sunat semua sekali!", dengan mimik muka konon-konon garang.

Masing-masing bermuka 'cuak', senyap berjalan masuk ke dalam surau.

Muazzin melafaz iqomat.

Jemaah yang duduk segera berdiri. Berganjak semua ke saf hadapan.

Imam mengambil tempat.

"Rapatkan dan luruskan saf.", imam bersuara.

"Moga ikatan persaudaraan dan ukhuwwah di antara kita akan sentiasa rapat sepertimana kita berada di dalam saf, InsyaAllah!", tambah beliau.

Mulutnya berkumat-kamit.

Para jemaah berdiri tegak tanda bersedia di belakang imam.

Imam mengangkat takbir, "AllahuAkbar!".

Di saf belakang sekali, si adik-adik kecil turut sama mempraktikkan solat berjemaah.

Selang beberapa ketika, langit yang tadinya cerah, awan yang tadinya tenang. Tiba-tiba, hujan pula yang datang.


(akan bersambung di bahagian akhir, InsyaAllah)

No comments:

Post a Comment