9/05/2012

Penyakit Orang Muda : Masalah Bercinta

Kata mereka ,
"Jodoh ditangan Allah s.w.t."
"Kita hanya merancang, Allah yang menentukan."

Sesungguhnya, benar kata mereka. Benar belaka. Orang muda memang pandai berbicara. Itulah orang muda, pelapis kepada masa depan keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Lihatlah kebanyakan orang muda sekarang, soal jodoh itu seolah-oleh berada ditangan mereka sendiri. Mereka merancang dan mereka jugalah yang menentukan. Mengapa wahai orang muda? (tuding ustaz jarinya ke arah salah seorang hadirin dengan raut wajah yang serius membuatkan semua pendengar lebih fokus)

Jelas sekali pilihan mereka mengikut hawa nafsu. Bentuk tubuh, rupa paras, kaya harta, itu yang nombor satu. Langsung sedikit pun tidak merujuk dan bertanya kepada Allah s.w.t. Sebaliknya, mereka memilih merujuk dan bertanya kepada orang yang paling hampir iaitu rakan - rakan. Lebih teruk lagi, ada yang menilik dengan siapakah jodoh mereka. Mengapa wahai orang muda?

"Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi, kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan". (Surah Al-An’aam: ayat 120)

“Dan janganlah kamu turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan kamu dari (agama) Allah”. (Surah Saad: ayat 26)

” Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa segera rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).” (Surah Saad: ayat 44)

Dari Aisyah r.a. katanya, Ramai orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda, “Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi, “Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah s.a.w., “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)


Seperkara lagi, sudahlah ikatan pertunangan tidak ada, lagikan ikatan perkahwinan, mereka cipta pula ikatan diantara mereka sendiri yang ternyata tidak sah (haram) sebagai tanda si dia dan si empunya diri sedang menjalin cinta. I'm sorry, i'm not available. I'm taken (Sempat ustaz berjenaka). Mengapa wahai orang muda?

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Takutlah (jauhilah) dari perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling tinggi ibadahnya. Redhailah dengan pemberian Allah untuk kamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad & Al-Tirmidzi)

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Surah Al-Isra': ayat 32)

Sabda Rasulullah s.a.w., “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya”. (Hadis Riwayat Imam At-Thabrani dan Al-Baihaqi)


Ketika waktu hangat bercinta, ketika bunga sedang mekar semerah bara, kemana sahaja pasti bersama. Ke hulu ke hilir berdua - dua. "Tidak mahu berjauhan beribu batu, walau dia selalu di hatiku". "Biar setiap hari bersamamu, tetap dirimu yang ku rindu". "Oh dia yang satu, milikku selalu". Indah ungkapan itu bukan? Berapa lamakah cinta ini akan bertahan? Apa pula yang terjadi bila sudah bosan? Cinta entah kemana, rindu entah kemana. "Ku sudah tidak kisah lagi, kerna ku sudah ada yang satu lagi". Mengapa wahai orang muda?

Kemudiannya, apabila sudah menemui keretakan dalam perhubungan sehingga menyebabkan penceraian, putus tunang, 'break up', mereka marahkan pula takdir. Semasa itu, barulah nak ingat Allah. Tetapi, berkata mereka kepada Allah, "Ya Allah, kenapa kau tidak takdirkan aku bersama si dia? Kenapa kau menduga aku sebegini rupa? Apa salah ku?". Masih tidak sedar. Mengapa wahai orang muda? (raut wajah ustaz bertukar dari serius kepada muram seakan kecewa)

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. (Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu. Dan minta tolonglah pada Allah dan janganlah malas. Apabila kamu tertimpa sesuatu, janganlah kamu berkata: 'Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini atau begitu', tetapi katakanlah: 'Qodarollahu wa maa sya’a fa’al’ (Ini telah ditakdirkan oleh Allah dan Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya) karana ucapan 'seandainya' akan membuka (pintu) syaitan." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dan akhirnya, hidup bagai hilang arah buat seketika atau berterusan sampai bila - bila. Namun, masih ada ruang untuk perubahan. Sedarlah, jangan kita abai kesilapan dan kesalahan kita kerana takut lupa diri dan menjadi orang yang sombong kepada Allah. Mengapa tidak kita sentiasa bergantung kepada Allah 100% pada permulaannya, seterusnya, hinggalah ke akhirnya?

Firman Allah s.w.t.: “Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: ayat 53,54)

Tanyalah diri dimana kedudukan Allah di dalam hati kita? Soal jodoh serahkan sahaja kepadaNya. Cintai dia kerana Allah.

(Ustaz Janggut [bukan nama sebenar])

No comments:

Post a Comment