"Goaaaaaaaaaaaaaaaaallllll!", Azlan menjerit sekuat hati seolah-olah melepaskan geram. Dia bersujud, melahirkan rasa syukurnya kepada Allah SWT.
Eqram berlari anak ke arah Azlan. Rakan sepasukan yang lain turut mengekori dari belakang. Mereka menghampiri Azlan dan berjoget-joget bersama meraikan gol yang dijaringkan oleh pemain posisi serangan itu.
"Terbaiklahhhhhh Azlan!", Eqram memuji. Tangannya menepuk-nepuk lembut bahagian belakang badan Azlan.
Setelah hampir 90 minit berhempas-pulas, diperolehi jua hasilnya. Itulah kelebihan pasukan KDR, dijadikan pasukan pilihan di dalam perlawanan ini kerana mereka tidak mudah berputus asa dan menyerah kalah. Mereka telah pun memenangi 3 perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Namun, perlawanan masih belum tamat. Masih belum boleh membuat sebarang andaian.
Ketika ini, pasukan lawan sedang mengawal bola. Mereka seperti merencana sesuatu untuk merobek kubu pertahanan pasukan KDR. Mereka bergerak pantas.
Para pemain KDR cuba membaca gerak-geri dan muslihat pasukan IKNP.
"Eqram! Kau awasi pemain sayap kiri mereka itu.", seorang rakan sepasukan memberi peringatan.
Pengadil perlawanan melihat jam di tangan. Masa semakin mencemburui pasukan lawan. Mereka menyerang mencari gol penyamaan.
"Bertahan!", kapten pasukan KDR mengeluarkan arahan.
"Tolong la jangan.", Azlan berbisik di dalam hati memejam kedua-dua mata. Jantungnya berdegup kencang. Mengharapkan rakan-rakan dapat menangkis serangan lawan.
Eqram melihat pengadil perlawanan meletakkan wisel di bibir dan berhenti berlari.
"Pprreeeeeeeeeeeeeeeeeeettttttttt!"
"Melompat-lompat para pemain KDR sejurus wisel penamat ditiup. Kelihatan penjaga gawang gol berlari pantas meluru ke tengah padang, tidak mahu ketinggalan meraikan kemenangan bersama-sama rakan sepasukan yang lain. Mereka mengangkat dan melambung-lambung Azlan, menjulang hero pasukan KDR itu.", rancak nada suara Dato' Hj. Hasbullah Awang mengulas untuk RTM1.
Beliau menambah lagi,"Begitulah kesudahan perlawanan di mana pasukan Kolej Darul Ridzuan (KDR) berjaya ke pusingan akhir Piala Kementerian Pengajian Tinggi peringkat Negeri Perak setelah berjaya menundukkan pasukan Institut Kemahiran Negeri Perak (IKNP) dengan satu gol berbalas kosong di dalam satu perlawanan yang cukup sengit dan sungguh mendebarkan"
Wajah pemain-pemain pasukan lawan jelas kecewa. Adat pertarungan, mesti ada yang menang ataupun tewas. Mereka bersalaman dan berpelukan sambil mengucapkan tahniah kepada para pemain pasukan KDR.
Kedua-dua pasukan bergerak meninggalkan padang.
Azlan yang pertama masuk ke dalam bilik persalinan. Dia memandang seorang demi seorang rakan sepasukannya seperti ada sesuatu yang ingin dirancang.
"Bau kaki la dowhhhhhh!" Azlan berjenaka.
Suasana di dalam bilik luas itu menjadi hiruk-pikuk bercampur gelak tawa apabila mereka saling tuduh menuduh antara satu sama lain.
"Bau kaki kau la weiiii!"
"Bau dibahhhh ini!"
"Cekam dia ituuuu"
Menuding-nuding jari mereka menunjuk ke arah kaki rakan.
Tiba-tiba jurulatih pasukan KDR, En. Navin, memasuki bilik persalinan dengan raut wajah agak serius.
Mereka segera mengunci mulut. "Ssshhhhhhhhh!", suara liar kedengaran. Keadaan lantas bertukar menjadi senyap.
En. Navin merenung mata setiap pemainnya.
"Misi kita masih belum selesai. Saya perhatikan masih ada beberapa kelemahan yang perlu dipertajam dan diperbaiki terutamanya di bahagian tengah. Kita banyak kehilangan bola.", tegas En. Navin. "Jadi, jadual latihan berikutnya akan saya maklumkan di kolej esok.", jelasnya lagi.
Semua pemain mengangguk-angguk kepala.
"Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemain-pemain saya kerana telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan sebentar tadi. Malah anda semua juga telah berjaya mengharumkan nama KDR dengan mara ke saingan akhir. Berikan tepukan yang paling gemuruh untuk diri sendiri.", En. Navin memberi pujian dan terus beredar.
Para pemain bertepuk tangan sekuat-kuatnya dan mereka turut beredar dari bilik persalinan.
Topik tentang perlawanan tadi masih menjadi bualan hangat.
"Jaringan kau tadi paling cantik pernah aku lihat seumur hidup aku.", bergurau kapten pasukan mengusik Azlan.
Eqram sempat mencelah,"Memang layaklah kau dipilih sebagai pemain terbaik semasa di sekolah dulu".
Mereka ketawa halus.
"Pandai la korang mengusik aku.", Azlan membalas.
Mereka berjalan menuju ke tempat letak motosikal. Ada segelintir yang menaiki kereta.
Hari semakin menjelang senja.
"Hari ni macam biasa okey!", Eqram memberi isyarat kepada Azlan. Kakinya menendang-nendang 'starter' menghidupkan enjin motosikal.
Azlan terpinga,"Apa? Apa?"
Enjin motosikal berjenama Honda model Wave100 berwarna merah milik Eqram berderum.
Dia memandang Azlan yang masih 'blur' dengan isyaratnya.
"Haih! Kau ni buat-buat tak paham pulak.", Eqram mengeluh.
Dia menunggang motosikalnya dan terus memecut laju keluar dari Kompleks Sukan Ipoh sambil memekik,"Jumpa di surau!"
Azlan sempat membalas juga dengan pekikan,"Insya-Allah!"
[akan bersambung]
(mhmdrshwn)
(Sorry la kalau ada tersilap penggunaan kata atau tatabahasa. Dah lama sangat tak menulis macam ni. Apa yang cuba disampaikan adalah mesej di dalam kisah ni.)
No comments:
Post a Comment