(Dituju khas buat sahabat - sahabat dan kenalan yang sedang menempuhi alam remaja, juga yang sudah melangkah ke alam dewasa)
Semua orang mengimpikan dan mengharapkan kejayaan yang cemerlang, namun...
"Impian tanpa usaha ibarat pohon tanpa buah"
"Harapan tanpa kesungguhan umpama fantasi dalam mimpi"
Alam remajaku tidaklah bermula dan berakhir dengan baik. Ini kerana tiadanya usaha dan kesungguhan. Hanya dipenuhi oleh impian dan harapan disulam hiburan dan keseronokan. Diriku dikuasai kemalasan serta dahagakan keriangan. Aku lalai dengan permainan dunia, tidak pernah membayangi apa yang menanti di akhirat kelak.
Kerna merasakan diriku terlalu muda, aku leka dan terus mengabaikan tanggungjawabku. Aku gagal menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Yang Maha Esa. Aku gagal menjadi anak yang menghormati ibu bapa. Aku gagal menjadi pelajar yang mengenang jasa. Aku gagal mengawal nafsu dan perasaan. Aku gagal mengurus masa dengan sebaiknya.
Apabila diri ditimpa pelbagai masalah. Apabila perbuatan dipandang salah. Apabila hidup bagai hilang arah. Langsung aku tidak kembali kepada Allah. Diriku diselubungi dosa. Amalanku ditarik balik semua pahala. Semuanya serba tidak kena. Aku tidak sedar, tentang diri yang telah jauh tersasar.
Andai diberi peluang kedua, akan aku ubah segalanya. Andai boleh diundurkan masa, pasti aku menghargainya. Seribu sesalan tidak membawa sebarang perubahan, jika tanpa tindakan susulan. Sekadar perkongsian sejarah yang boleh diteladani, agar suatu hari tidak ditangisi.
"Kematangan seorang remaja bukan kerana berani melakukan sesuatu yang menyalahi undang - undang, menyahut cabaran rakan atau mempunyai kumpulan yang ramai dan kuat tetapi diukur dari keupayaannya membuat pilihan daripada pelbagai alternatif"
(Mhmdrshwn)
No comments:
Post a Comment